Loving & caring

My photo
I love to learn alot of things in this world, and would love to share with my fellow friends what I had discovered. May this little piece of work will inspire us all towards the reality of life and faith.

02 December 2007

Iran kecam AS biayai Israel -


Iran kecam AS biayai Israel - Sifatkan sidang damai Asia Barat tidak akan berjaya

TOKYO 2 Dis. – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang mengecam rundingan damai Asia Barat anjuran Amerika Syarikat (AS) berkata, rakyat Palestin tidak mempunyai wakil sebenar pada rundingan tersebut.

Mahmoud dalam wawancara yang disiarkan di sini hari ini berkata, perdamaian di Asia Barat tidak mungkin dicapai kerana Washington terus membiayai tentera Israel.

“Mustahil bagi sebuah negara yang membekalkan senjata dan peralatan tentera berbilion-bilion dolar kepada Israel tetapi kemudian bertindak cuba membawa damai kepada Palestin,” kata Mahmoud sewaktu wawancara dengan stesen televisyen Jepun, TV Asahi di Teheran.
Beliau mengecam keras sidang damai yang diadakan di Annapolis, Maryland itu.

Tegas Mahmoud, penganjur persidangan itu enggan mengakui punca utama masalah Palestin ialah kerana penganjur itu sendiri iaitu AS, bertindak melindungi penindas rakyat Palestin.

“Wakil sebenar rakyat Palestin tidak menyertai rundingan, kepentingan mereka tidak dihiraukan,” ujar beliau dalam bahasa Parsi yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Jepun.

Pada sidang damai Asia Barat di itu, para pemimpin Israel dan Palestin di hadapan wakil dari hampir 50 negara mengumumkan rundingan damai rasmi akan disambung semula selepas tujuh tahun terbengkalai.

Iran berkali-kali mengutuk rundingan tersebut yang dilihat oleh banyak pihak sebagai bertujuan memencilkan republik Islam itu.

Pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza sejak Jun juga membantah penyambungan semula rundingan damai dengan alasan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tidak bercakap bagi pihak rakyat Palestin kerana ia bukan dari Hamas sedangkan rakyat memilih Hamas pada pilihan raya.

Sementara itu, para pegawai AS melahirkan harapan agar sidang Annapolis akan melemahkan perikatan Iran, Syria, Hamas dan pergerakan Hizbullah Lebanon.
– AP